Monday, March 11, 2013

SURAT Ku...




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah Penguasa segala yang ada di dunia. Ya Zal Jala Lil Wal Ikram.

Ya Allah, dengan Mu ku pohonkan kekuatan dan kebenaran atas rahmat dan syafiat Nabi Muhammad s.a.w dan selawat ku atas junjungan Rasullullah s.a.w. Penghulu setiap makhluk, kekasih Allah s.w.t.

Ya Allah dengan limpah kebesaran Mu, rahmatilah tabligh ini atas nama agama Mu Ya Allah, atas nama persaudaraan Muslimin itu Ya Allah…

Dato’ Seri dan Tuan Guru, maafkan saya andai lembaran ini tidak menyenangkan hari Dato’ Seri dan Tuan Guru, dan mengganggu kelancaran persediaan dunia politik Datuk Seri dan Tuan Guru. Saya bernama Sharol Hazlee bin Baharom dari Batu Pahat. Hamba Allah yg hina lagi dina diatas amalan yg sgt sederhana harapnya ada.

Adapun tujuan saya ialah untuk bertanya dan memberi sedikit cadangan andai diterima kepada Datuk Seri dan Tuan Guru kerana di atas dahi saya tercalit perkataan Islam dan saya diikat dengan tuntutan Islam, untuk itu perkara ini untuk saya melepaskan diri dari tabligh yg sudah lama saya ingin laksanakan kepada Datuk Seri Najib dan Tuan Guru Hj Nik Aziz.

PRU 13 menanti hari sahaja… ini kali ke-3 InsyaAllah saya berpeluang mengundi… tetapi saya akan batalkan niat mengundi kerana, saya tahu atas undian saya, saya telah memecahkan perpaduan antara Saudara Islam Datuk Seri dengan Saudara Islam Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz. Saya bakal memecahkan keamanan dan keharmonian sesama saudara…
Adakah benar undi akan menjadi begitu? Ntahlah Dato’ Seri, Wallahuaklam Tuan Guru, namun saya terfikir, selama mana yg mampu sistem demokrasi ciptaan manusia yg bukan Muslim ini mampu kita katakan memberi keamanan dan keharmonian malah lebih lagi memberi keselamatan. Kerana Agama Islam mengatakan, hanya sistem yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w yang mampu memberi keselamatan dan kesempurnaan pentadbiran politik dan Negara… tinggalkan sistem itu sedikit sahaja, hancurlah kerajaan… lihatlah Empayar-empayar lama…

Dato’ Seri, mohon pencerahan dari Dato’ Seri, saya ini marhaen biasa sahaja, kenapa sukar untuk kumpulan yang dikuasai Dato’ Seri ini untuk melaksanakan Sistem Rasullullah s.a.w? dan Apakah yang menjadi penghalang kepada perpaduan saudara SeIslam antara orang-orang Dato’Seri dengan orang-orang Tuan Guru? Tiadakah sedikit dalam hati tuan berdua yang mahukan perdamaian dan perpaduan agar terbit kekuatan Muslim di Negara Malaysia yang sangat saya sayangi ini.? Jika ada, usahalah bersungguh-sungguh… carilah titik pertindihan bagi mencapai permulaan kesamaan. Mudah kata… tukarlah sebanyak mungkin sistem demokrasi tuan kepada sistem Allah. Pasti cepat jumpa titik pertindihan itu… saya tahu Dato’ Seri mulia orangnya. Malah berhajat untuk menyatukan Ummah dibawah panji-panji Islam.

Benci saya menjadi-jadi dengan politik demokrasi sudah bertahun-tahun saya pendamkan… bukan kerana apa pun… Cuma saya benci melihat dan membaca di akhbar-akhbar dan di internet kisah-kisah mengaibkan dan memalukan sesama saudara seIslam. Tiada tugas lainkah didalam alam politik Dato’ Seri dan Tuan Guru selain dari kerja mencari silap dan keburukan. Selain mencari aib dan merangka kemusnahan saudara sendiri? Bukankah di dahi Dato’Seri dan Tuan Guru pun ada calit Muslimin seperti saya. Kenapa mesti begitu?
Kepada Dato’ Seri, tunaikanlah Islam dengan penuh Ikhlas dan rendah diri. Dato’ Seri kena ingat, Dato’ Seri bukan sahaja ketua pemimpin seluruh Rakyat Malaysia, namun masih memegang ketua keluarga dan suami… maafkan saya, didiklah keluarga Dato’ Seri dengan Islam yang amat-amat syumul. Semoga Dato’ Seri mendapat kejayaan yang lagi besar InsyaAllah.

Kepada Tuan Guru, malu saya nak bercerita dan berpesan. Saya yang amat hina lagi dina ini memang tidak layak bercerita perihal Aqidah dan Syariat. Cuma, saya bermohon agar Tuan Guru perluaskan lah usaha untuk bersatu padu sesama Islam dan Melayu. Menggiatkan usaha menegakkan Islam seluruhnya. Dan tidak memandang sepi idea-idea perpaduan. Andai kafir menjadi teman Tuan Guru, apalah lagi saudara seIslam. Pasti Tuan Guru mampu laksanakan dengan Izin Allah. Jasad sehebat Tuan Guru ini pasti mampu melakarkan sejarah perpaduan dengan bantuan ahli-ahli Tuan Guru yang sama-sama hebat aqidah dan ilmu Allah nya…

Dato’ Seri, saya sedia maklum akan perihal tingkah ahli-ahli Dato’, tiada lagi manusia yang maksum. Setiap kita melakukan kesilapan dan setiap kita dibekalkan nafsu sebagai KPI dugaan iman. Tiada istilah tiada maaf. Setiap kita layak memohon keampunan dari Yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Mulakanlah lembaran hidup baru yang lebih bermoral dan Islamik dan kehidupan harian anak-anak buah Dato’ Seri. Moga Allah melimpahkan lagi rezeki. Malah rezeki yang halal untuk menjadi benih tanaman syurga.
Wahai Tuan Guru yang disayangi semua, akhlak Tuan Guru amat cantik. Budi bahasa anak-anak buah Tuan Guru juga kebanyakkan juga cantik. Namun kita hidup bukan lagi dalam dunia kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w. dunia kita penuh dengan plastic dan sintetik. Semoga Tuan Guru mendalami hati lawan. Menyayangi mereka dan mencari kebaikan mereka dan sentiasa senyum untuk mendakwah mereka… agar menjadi ikutan anak-anak buah Tuan Guru dan kembali menstabilkan perpecahan didalam Kumpulan Tuan Guru…

Akhir kata, saya bermohon, segala yang ada di Malaysia ini akan hidup dibawah Sistem Khilafah… Sistem yang tiada cacatnya. Sistem dari Syurga untuk membantu manusia hidup di Syurga kelak… semoga terhapusnya demokrasi ini yang semakin hari sedikit demi sedikit memakan hati suci waris-waris Muslimin untuk menjadi ahli neraka. Sedikit demi sedikit menjauhkan Muslimin dari imannya dan Islamnya… Semoga tiada lagi panji-panji berwarna-warni selain dari panji-panji hitam dan putih Rasulullah s.a.w yang berkibar… Insya Allah.   

Sesungguhnya, saya sayang Dato' Seri dan Tuan Guru kerana memimpin negara Malaysia. dan semua pemimpin muslim dan bukan muslim yang tahu menghormati Agama ku...
Sebab itulah wujud lembaran surat yang tidak bernilai ini... semoga usaha yang sangat kecil ini akan memberi manfaat walaupun sekcil zarah dengan Izin Allah...  

Ya Allah, lindungilah daku dari segala hukuman dan balasan seksa Mu. Dan lindungi dan peliharalah pemimpin-pemimpin Islam Negara ku ini. Satukan lah jiwa-jiwa kami dibawah panji-panji Rasullullah s.a.w. Aku sedar ya Allah, tabligh untuk agama Mu memulangkan cubaan dan dugaan yg sgt besar… aku redha Ya Allah, asalkan aku dan saudaraku dirahmati di syurga Mu. InsyaAllah… Amin Ya Rabbal Allamin.

-AbuHakeem- insan yang serba lemah dan jahil.

dihantar ke email Dato' Seri di 1malaysia.com dan Facebook Tuan Guru.
kalau sesiapa yg boleh hantar ke alamat yg akan sampaibenar kepada beliau berdua, panjang-panjangkan lah .... hanya Allah membalas budi tuan sekalian.