Thursday, March 31, 2011

APRIL FOOLS DAY. -Hari Gurauan...atau Pembunuhan!?




Wakakaka.... gelak guling-guling.... satu pihak lagi pasti rasa malu, geram, marah, namun tidak dapat meluahkannya.... hanya pembalasan semula dengan taktik berlainan di hari yg sama dalam setahun sahaja.... harap-harap mengena. Hehehehe..... masing-masing sudah memasang perangkap untuk mengenakan mangsa yang sesuai....

Itulah dia hari yang disebut APRIL FOOL (Jenaka?Penipuan Bulan April?) yg disambut dengan 'prank' pada 1 April.

Sebenarnya saya berhasrat mengeluarkan artikel ini sekurang-kurangnya 3 atau 4 hari sebelum 1 April. Entah mengapa cuai sampai terlupa pula. Sebab asyik sangat mengulang baca kisah kejatuhan Baghdad dalam Empayar Khalifah Abbasiyah dan membelek peperangan Ain Jalut. Mencari siapa kah Berkhe Khan. Sampai saya terlupa berpesan berkenaan April Fool ini.




Dengan Nama Allah Yang Maha Mengetahui.

Seperti 14 Feb, pada 1 April, biasanya banyak diantara kita akan begitu sibuk dan bersiap sedia untuk merayakannya tetapi pada hari ini, hari yang ditunggu untuk membuat 'rancangan besar' bagi menipu atau menganiaya orang lain samada sahabat, saudara terdekat, bahkan ibu bapa sendiri dengan niat untuk bergurau. BUDAYA tersebut begitu eratnya melekat, seakan-akan pada tanggal 1 April tersebut kita berbuat DOSA.

Fikiran kita penuh dengan perancangan mencari mangsa-mangsa untuk dipermainkan. Bahkan sewaktu sedang bekerja atau sedang makan pun kita akan mencari cara dan membuat rencana 'penganiayaan' ini.

Apa yang penting, kita ingin puas melihat mangsa-mangsa gurauan April Fool ini muka mereka merah padam kerana dipermain-mainkan. Tetapi secara sedar atau tidak ia adalah kedangkalan yang nyata, disamping juga bertentangan dengan Aqidah dan tidak membawa manfaat sedikit pun.

Kita sebagai umat Islam, berhati-hatilah terhadap budaya ini, hindarilah diri kita dari melakukan perkara zalim, apalagi 'April Fool' bukanlah budaya Islam. Ramai diantara kita umat Islam khasnya tidak mengetahui kenyataan pahit di dalam sejarah Islam; terutamanya umat Islam di Sepanyol di sebalik perayaan 'April Fool'.


Sejarah APRIL FOOL

Menurut riwayatnya iaitu kira-kira lebih seribu tahun yang lalu Sepanyol dibawah kekuasaan Islam begitu kuat, sehingga tidak dapat dihancurkan, dan sememangnya menjadi tabiat kaum kuffar iaitu musuh-musuh Islam pada sepanjang masa dan sejarah, tidak akan merasa senang serta tidak akan pernah hilang keinginan mereka untuk menghancurkan Islam dan memadamkan cahaya Allah SWT.

Berbagai cara akan mereka lakukan dan berbagai helah akan dicari untuk menjatuh dan mengalahkan umat Islam.

Begitu jua keadaannya di Sepanyol ketika itu. Kaum Kristian terutamanya berharap untuk melenyapkan Islam dari seluruh bahagian Sepanyol. Sedangkan ketika itu umat Islam beberapa bahagian di Sepanyol seperti di Grenada (Ghornata), begitu kuat mengamalkan cara hidup yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah; yang menjadikan mereka begitu kuat hingga tidak dapat diganggu gugat.

Beberapa kali mereka mencuba menyerang, mengganggu serta cuba membersihkan kekuasaan umat Islam tetapi menemui kegagalan demi kegagalan. Lalu mereka mengirimkan pengintip untuk mengetahui asas kekuatan umat Islam di sana. Maka pengintip tersebut berpura-pura mempelajari Islam dan apabila sekian lama bersama-sama dengan umat Islam di sana beliau menemui satu kekuatan umat Islam iaitu IMAN dan TAQWA mereka kepada Allah SWT.

Maklumat tersebut disampaikan kepada musuh-musuh Islam lalu mereka mencari strategi untuk melemahkan umat Islam di sana dan menghancurkannya. Setelah beberapa kali bersidang mereka membuat kesimpulan bahawa untuk melemahkan kaum Muslimin, mereka mesti melemahkan Iman dan Taqwa umat Islam kepada Allah SWT. Lalu mereka pun mencuba berbagai cara dalam usaha melemahkan iman umat Islam. Antaranya mengirimkan arak (alkohol), muzik, dadah, malah wanita-wanita untuk mengkhayalkan umat Islam terutama para belia.




Strategi tesebut cukup berkesan. Setelah beberapa lama didapati sesetengah umat Islam tidak lagi kuat Iman dan Taqwa mereka. Apabila menyedari keadaan tersebut maka mereka sekali lagi merancang untuk menyerang dan memusnahkan umat Islam.

Maka kali ini, umat Islam diserang habis-habisan. Malang sekali pada ketika ini umat Islam tidak lagi berupaya melawan dan mempertahankan diri mereka.

Akhirnya jatuhlah semua daerah Sepanyol dari penguasaan umat Islam selama 800 tahun kepada Kristian seluruhnya. Daerah terakhir yang dapat dikuasai adalah Grenada.

Kezaliman yang dilakukan kepada umat Islam ketika itu sangat dahsyat! Sekiranya ditemui pasti akan diseksa dan dibunuh. Maka pihak Muslimin terpaksa lari dan menyembunyikan diri. Nmaun ini belum dapat memuaskan hati mereka.

Lalu mereka menawarkan peluang iaitu sekiranya penduduk Muslimin ingin selamat, mereka hendaklah berpindah keluar dari Sepanyol dan kapal-kapal akan disediakan.

Pada mulanya kaum Muslimin merasa curiga atas tawaran tersebut, tetapi mereka tiada pilihan lain. Tambahan pula mereka mendapati bahawa kapal-kapal untuk mereka melakukan pelayaran telah tiba di pelabuhan dan menanti ketibaan mereka.

Tanggal 1 April, kaum Muslimin keluar beramai-ramai ke pantai dengan hasrat untuk meninggalkan negeri Sepanyol. Pada kesempatan inilah tentera-tentera Sepanyol telah menyerang dan membunuh Muslimin keseluruhannya, samada wanita atau kanak-kanak. Bahkan kapal-kapal yang berada di pantai dibakar. Tidak cukup dengan itu, penempatan lain pihak Muslimin juga dibakar. Maka hancurlah pihak Muslimin dan berjayalah musuh Islam dalam usaha melakukan 'pembersihan' terhadap pihak Muslimin.




Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini dirayakan oleh pihak Kristian pada 1 April setiap tahun.

Perayaan ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai 'APRIL FOOLS DAY'.

Namun apa yang paling menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil pun turut memperingati April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan saudara se-Islam mereka sendiri.

Sesungguhnya sebagai umat Islam adalah tidak wajar, tidak patut dan tidak seharusnya kita membudayakan suatu budaya yang bukan datangnya dari Islam itu sendiri. Berhati-hatilah terhadap budaya ini..............

Semoga kisah ini memberikan gambaran sebenar kepada yuang masih tidak tahu... saya hanya menyampaikan apa yang saya tahu atas anugerah Allah... dan tiada sebarang halangan untuk anda semua samada menyalin atau menyampaikan kisah ini dalam apa jua bentuk untuk peringatan saudara yang lain. (tak payah beri kredit pun saya tak kisah. hanya kredit dari Allah saya kisah) INSYAALLAH.

-tiada hakcipta dalam Islam. Semua milik Allah-

Firman Allah : "dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim". Surah Al-Baqarah ayat 193.

Wednesday, March 16, 2011

Muslim yang "Islamophobia"




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


- Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia dalam kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan umat Islam sendiri -



"Kenapa orang bukan Islam sangat sukar untuk memahami Islam?" tanya seorang pemuda dengan nada kesal.

"Sebab orang Islam sendiri gagal memahamkan mereka," jawab saya perlahan.

"Kenapa orang Islam gagal memahamkan bukan Islam tentang Islam?"

"Sebab orang Islam sendiri tidak faham Islam!"

"Apa bukti kata-kata awak itu?"

"Buktinya jelas. Lihat sahaja dalam realitinya, apakah masyarakat Islam pada hari ini selamat dan menyelamatkan?"

"Kenapa ke situ pula arah percakapan awak?"

"Sebab Islam itu bererti selamat. Bukan sahaja selamat malah mampu menyelamatkan. Maka sudah tentulah secara logiknya umat Islam adalah umat yang paling selamat dan dapat menyelamatkan orang lain."

"Tetapi realitinya tidak begitu kan?"

"Awak boleh lihat dengan mata kepala sendiri. Kita mundur dari semua sudut, sama ada rohani mahupun jasmani."

"Maksud awak di dunia antarabangsa?"

"Tak payah pergi jauh, lihat sahaja di negara kita. Siapa yang terlibat dalam gejala sosial? Siapa yang ketinggalan dalam bidang ekonomi?"

saya sambung...

"Ya, bangsa Melayu Islam." kata saya.

"Awak jangan silap, kelemahan umat Islam bukan bererti kelamahan Islam." katanya.

"Benar. tapi umat Islamlah yang menyebabkan berlakunya Islamophobia. Umat Islam yang tidak amalkan Islam secara penuh dan menyeluruh," balas saya.

"Musuh ambil kesempatan memburuk-burukkan Islam atas kelemahan umat Islam. Mereka yang salah."

"Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri membuka peluang untuk diperlakukan demikian."

"Jadi bagaimana nak atasi Islamophobia?"

"Dalam kalangan siapa, umat Islam atau bukan Islam?" bidas saya.

"Tentulah dalam kalangan bukan Islam. Contohnya Barat. Merekalah yang menuduh kita mundur, ganas, berpecah belah dan militan."

"Bagi saya, kita perlu laksanakan strategi serampang dua mata."

"Macamana pula tu?"

"Kita perlu perjelaskan dan amalkan Islam yang sebenar dalam kalangan umat Islam. Itu yang penting."

"Bagaimana dengan yang bukan Islam?"

"Insya-Allah umat Islam yang faham Islam dan mengamalkannya merupakan hujah yang kuat untuk menolak Islamophobia."

"Kenapa?"

"Selamanya manusia mempercayai matanya daripada telinga. Action speaks louder than words."

"Eh, tak faham pula saya."

"Kita mesti amalkan Islam yang boleh dilihat. Bukan sahaja cakap-cakap tentang Islam yang hanya enak didengar."

"Apakah amalan Islam kita sekarang belum cukup?"

"Belum cukup dan belum sempurna." kata saya lagi.

"Jangan ekstrem. Berpada-padalah. Berserderhana."

"Kita belum amalkan Islam yang sederhana. Kita masih dibawah paras sederhana."

"Awak ni.... Biar betul. Ukuran mana yang awak pakai?"

"Siapakah yang paling sederhana mengamalkan Islam?"

Pemuda itu terdiam.

"Role model individu yang paling sederhana mengamalkan Islam ialah Rasulullah s.a.w. Bagindalah yang pernah bersabda, sebaik-baik urusan adalah yang pertengahan. Justeru, Bagindalah orang yang pertama mengamalkan apa yang diperkatakannya."

"Ikut Nabi... susahlah."

"Bagindalah ikutan bagi kita mengamalkan kesederhanaan Islam. Bagindalah Al-Quran hidup yang mengamalkan prinsip-prinsip kesederhanaan dalam Al-Quran."

"Maksud awak konsep wasatiyah?"

"Wasatiyah dalam seluruh sistem hidup. daripada persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Yang merangkumi soal aqidah, syariah dan akhlak."

"Siapa yang mampu buat begitu?"

"Para sahabat, salafussoleh dan orang Mukmin dari dahulu hingga sekarang. Mereka ialah golongan sederhana yang mengikuti Rasulullah s.a.w, insan yang paling sederhana."

Melihat dia diam saya menambah.

"Lihat bagaimana iman, solat, ekonomi, ketenteraan dan seluruh cara hidup mereka. Itulah model kesederhanaan yang diredhai Allah. Selain itu masih dikira ekstrem, samada ekstrem yang liberal atau ekstrem yang fanatik."

"Bagi saya sederhana itu adalah dengan mengamalkan Islam yang tidak menimbulkan ketakutan dan keresahan. Kita dilihat mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang majmuk dan pelbagai."

"Saya setuju dengan pandangan awak. Lihat apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Baginda mempu menghadapi dan menangani cabaran masyarakat majmuk di Madinah."

"Kita perlu diplomasi."

"Diplomasi yang tidak menggadaikan hukum dan peraturan Allah."

"Contohnya?"

Islam itu Sederhana

"Apabila kita makan, kita memilih yang halal, menolak yag haram dan syubhah. Itu sederhana. Apabila berekonomi, kita menolak riba dan penzaliman. Itu sederhana. Apabila...."

"Cukup-cukup. Itu semua berlaku dalam kalangan umat Islam, bukan? Bukan itu sasaran saya. Sasaran saya ialah Islamophobia dalam kalangan bukan Islam."

Saya hampir menggeleng-gelengkan kepala. Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia dalam kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan umat Islam sendiri.

"Cuba awak fokus sedikit kepada bukan Islam."

"Ya. Saya teringat apa yang dinukilkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengenai ucapan seorang intelektual yang baru memeluk Islam..."

"Ya, itulah yang saya nak dengar!"

"Kata intelektual itu, subhanallah yang mengenalkan aku kepada Islam terlebih dahulu sebelum aku mengenal orang Islam."

"Pelik bunyinya?"

"Tak pelik sebenarnya. Maksudnya, mujur dia memahami ajaran Islam yang begitu indah, sempurna dan praktikal secara ilmiah dahulu. Hingga dengan itu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Sekiranya dia terlebih dahulu mengenal perangai dan sikap orang Islam yang buruk, maka dia tidak akan tergerak untuk memeluk Islam. Maka dia memuji Allah atas rahmat itu!"

"Tetapi ramai juga orang tertarik kepada Islam kerana umat Islam, betul tak?"

"Betul. Tetapi umat Islam yang bagaimana? Tentulah umat Islam yang mengamalkan Islam."

"Ish, fokus awak masih kepada orang Islam. Itu bukan sasaran saya."

"Saudara, memang benar kita akan ditanya oleh Allah mengapa tidak berdakwah yakni memberi penjelasan tentang Islam yang sebenar kepada bukan Islam tetapi Allah tentunya akan lebih bertanya kepada kita apakah kita telah amalkan Islam yang telah kita akui kebenaran dan kesempurnaannya. Bukankah kita bertanggungjawab menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka terlebih dahulu? Bukankah moto dakwah kita adalah perbaiki diri dan serulah orang lain?"

"jadi awak enggan berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan bukan Islam?"

"Saya menyokong. Fitnah yang melanda Islam dan umat ini perlu ditangani dengan serius. Ia satu dakwah dan jihad yang utama."

"Tetapi awak macam skeptis sahaja......."

Sempurnakan Kefahaman Umat Islam

"Bukan begitu. Saya berasa kita perlu juga baiki dan sempurnakan kefahaman dan amalan Islam dalam umat Islam, sekaligus kita perjelaskan Islam yang kita fahami dan amalkan itu kepada bukan Islam. Mari kita amalkan cara hidup Islam yang syumul tanpa memilih-milih mengikut hawa nafsu kita?"

"Mengikut nafsu?"

"Ya, kekadang apa yang sesuai, kita ikut. Tetapi ada yang kita rasa tidak sesuai lalu kita pinggirkan. Saya teringat ancaman Allah dalam Al-Quran tentang golongan yang beriman dengan sebahagian isi Al-Quran dan kufur dengan sebahagian isi yang lain. Mereka itu dijanjikan dengan kehinaan ketika hidup di dunia dan akan dilemparkan ke neraka."

"Awak mengancam."

"Tidak. Ini mengingatkan kerana kasih sayang. Saya pun lemah. Tetapi jika kita sama-sama berusaha, kita akan saling kuat-menguatkan."

"Kalau begitu, boleh tak kita jangan cakap tentang neraka?"

"Mengapa?"

"Itu menakutkan. Kita bincang soal yang harmoni."

"Saya tidak faham apa yang awak maksudkan dengan ajaran Islam yang harmoni. Tetapi soal neraka dan syurga ini adalah soal iman. Ia adalah perkara pertama dan utama yang ditekankan oleh Nabi s.a.w diperingkat awal perjuangannya."

"Awak menakutkan orang bukan Islam."

"Maaf saudara, saya sedang berhadapan dengan saudara.... orang Islam. Kita perlu bercakap soal iman kerana tanpa iman, Islam akan hanya ada difikiran dan lisan, bukan dihati dan amalan."

"Bukan begitu, tapi soal ini perlu dikemudiankan...."

Saya terdiam. Oh, betapa ramainya orang Islam yang mengukur kesederhanaan Islam mengikut "kesederhanaan" nafsu, bukan lagi merujuk kepada sejarah pengalaman Islam oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang merujuk kepada kesederhanaan wahyu!

- petikan artikel itu saya ambil dari naskah/majalah SOLUSI no.25 (maaf saya tidak minta izin dari penerbit... nak saman.. janganlah.. saya bukan orang mewah dan berduit banyak. namun saya amalakkan tiada hakcipta dalam Islam selain ia milik Allah s.w.t)

artikel ini hasil nukilan pena Imam Global.