Thursday, April 28, 2011
Memoir Insan Bergelar Rakan, Kawan , Teman....
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Takziah kepada Pakcik Morsidy dan Isteri atas pemergian anak kesayangan mengadap Illahi. Semoga dia ditempatkan di kalangan para Solehin, InsyaAllah.
Sepatutnya minggu ini saya hendak keluarkan artikel lain, namun inilah dinamakan taqdir. Kita merancang, perancangan Allah jua yang terbaik. Rakan saya sejak kecil yang amat rapat telah menyambut panggilan Illahi pada Hari Selasa 22 Jamadilawal yang lalu.
Sepanjang saya pulang dari menziarahi keluarga beliau, berbagai fikiran menerawang dan bersilih ganti dengan perasaan. Akhirnya saya sedar, kita sering memandang sepi nilai persahabatan. Nilai kepentingan wujudnya rakan dalam hidup kita sehingga la kita kehilangannya. Sehingga kita betul-betul merasa kehilangannya…… betul-betul rakan yang amat rapat.
Maaf, selepas perenggan ini saya akan menggunakan kata diri ‘aku’ kerana menerbitkan perasaan yang lebih dekat kepada arwah rakan saya, adik beradiknya dan rakan-rakan saya sekalian. Maaf jua jika artikel ini lebih bersifat peribadi dan memoir semata, namun jika ada yang baik, sudi-sudilah dijadikan pedoman, yang buruk dari memori saya ini, lupakan sahaja.
Sepintas lalu
Rakan baik ku itu bernama Allahyarham Saudara Khairul Anuar bin Morsidy. Anak kedua dari ramai adik beradik. Abangnya Khairul Nizam (Kerol) pemilik blog The Seven String juga individu yang sangat rapat dalam hidup ku. Sampai Uda (adik arwah) sering kata aku ni kembar Along, belangkas …. Sering bersama dahulu…. Kemudian Uda – Khairul Rizal (sebelumnya ada saudara perempuan – Ateh) dan adik beradik lelaki terakhir, Khairul Johari (Jojo)…
Bukan aku tidak pernah kehilangan rakan, bukan seorang tapi ramai juga. Kemalangan, sakit, malah seorang rakan sekolahku ketika menengah pernah bunuh diri! Tapi kehilangan kali ini, dapat ku rasakan, walaupun jauh dilubuk hati… aku tetap rasa terkilan dan rindu.
Memoir gembira bersama
Maaf Angah, aku kurang periksa kehadiran kau dalam hidup aku… tapi aku yakin ketika kita ditingkatan satu. Kau bersekolah lain disekolah rendah. Itu yang kita tak berkenalan lebih awal.
Teringat aku masa kita setiap hari menyusur tepi pagar Sekolah Rendah Kebangsaan 2 untuk lalu jalan pintas dan seringkali berdua…. Dan lagu tema balik sekolah kita… Boo Hoo Clapping Song… sambil jeling-jeling kat kebun jambu milik Sekolah Rendah Kebangsaan 1, dan tukang kebunnya tak pernah tiada….
Bersama-sama lari kalau kena kejar anjing di tepi padang… dan sejak Jalan Camel siap, itulah laluan baru kita… jauh dari bahaya serangan angsa rumah Tok Said…
Aku pasti akan menunggu kau di rumah Shawal untuk ke sekolah agama dipagi hari… pukul 8.30 mesti kita bertiga akan menunggu mak aku beli ikan dan sayur di kedai Arwah Pak Hassan. Tunggu mak aku belanja makan roti canai…. Lepas makan lari semula ke sekolah agama.
Aku teringat kita sama-sama dilempar telur tembelang oleh Azuharni dan Salina and the gang… tapi rasanya macam kita yang dapatkan telur tu di belakang rumah Ustazah…? Akhirnya jatuh ke tangan musuh…. Bising betul mak aku Ngah….
Lama kemudian… ko berpindah dari rumah sewa ke rumah baru Abah kau. Terasa jauh dan terasing. Sekarang baru aku terharu Ngah… tak terbilang kau hadir ke rumah aku hanya dengan berjalan kaki. Gigih. Bersama-sama kita sering kemana-mana berjalan kaki sahaja… tapi sering juga kita naik basikal chopper hitam aku tu… pergi memancing di ladang sebelah taman aku.
Ya kalau memancing aku lebih rela bawa kau dari Along. Kau pun tau kan Along kalau memancing. Dah la umpan kena pasangkan, siap lemparkan… lepas tu.. tido. Hehehe…
Ingat tak Ngah team bolasepak yang kita tubuhkan? JUVENTUS… dari empat kumpulan kita kalah teruk… yer la, yang hebat-hebat semua team lain. Tapi aku akui, skill bola sepak kau setaraf Along. Dribble yang berpusing-pusing. Tapi ko mengah… Uda? Uda paling sesuai kalau main kasar… paling tegap… Jojo? Aku tak pernah main bola dengan adik kau Ngah… tapi macam pernah tengok dia main bola dengan rakan dia… Along? Aku tak nak cerita, nanti sebulan dia tersengih jer. Mentang-mentang aku memang kakibangku.
Kita sekelas dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga. Sehinggalah dipisahkan di tingkatan empat. Aku, kau, along dalam rumah sukan yang sama. Garuda Merah! Tahun bila yer kita menjadi juara? Ketika itu, rakan-rakan yang amat rapat bersama-sama dalam rumah sukan. Meriah. Ada Majid, Herman, Adi, Mahadil, Yus eh… aku tak ingat lagi la Ngah… Darwis sama ker? Razak? Acid? Fit?
Aku sanjung kegigihan kau Ngah. Engkau lah yang mengajar dan mengajak aku mencari sayur pucuk paku untuk dijual. Masa tu kau akan bercerita betapa sedapnya pucuk paku ini kalau masak lemak… sambal… kuah… kau memang hebat dalam bab makanan nie Ngah. Pasti semua rakan-rakan kita setuju. Menangkap haruan dan keli jual kat Restoran Hoe. Memang kau dari keluarga yang amat gigih… sama juga Along… tak dapat naik motor, basikal pun jadik kami bersama mencari tin kosong… kan Along kan? Ingat harta karun yg kita jumpa di tepi jalan dekat dengan Ladang Sepuloh? Dan juga kat belakang rumah abang yg selalu beli ketam masa kita sama-sama kerja jual ikan.
Pasti mak aku juga rindu pada kau Ngah. Dia yang sering terkejut bila lihat kau diam-diam baca buku kat luar rumah aku. Ya Ngah, aku rindu membaca komik dengan kau. Lepas tu sama-sama gelakkan Shawal yang sering berangan bila baca komik. Tapi kau tak tahu yang aku sering berangan jadi Penjejak Badai… dan Along ko sering berangan jadik Penjejak Awan…
Aku tak sangka dulu ko lebih cepat kuasai permainan ping pong ketika kita mula-mula dapat tengok meja ping pong kat balai raya…. Dengan cepat ko kalahkan Jeff… aku berminggu-minggu baru dapat kalah kan dia….
Kemudian aku, kau,Along dan Yus… sering singgah melihat orang bermain muzik kat studio Arwah Abang Zainal Abidin tepi rel keretapi. Nak main, tapi tak reti… tengok jer la geng-geng Kuntum, Dadi dll melalak dalam tu…
Aku terlambat ker nak minta maaf Ngah? Kes aku terbaling mercun dalam kain kau? Perihal tertinggalkan kau masa lari malam-malam dari rumah Cikgu Shidan. Tu Along yang lari cepat sangat. Aku bukan atlet. Dan aku tak sengaja kot.
Pasti Along dan adik beradik kau tak tahu kau belajar silat kan… Aku masih terbayang kau dengan Arwah Abah aku kat laman rumah. Melihat kau belajar gerak lian. Masa tu aku cukup berlagak kerana dah mahir. Asyik gelakkan kau jer… kau memang bertuah Ngah. Arwah Abah bukan senang nak terima murid. Tapi sayang, kau sampai lian tiga jer. Takperlah Ngah, aku pun bukan abis belajar gak. Along pun banyak kali aku ajak... Arwah Abah pun pernah offer...
Semakin lama aku coretkan memoir ini semakin jauh aku mengelamun Ngah. Teringat aku kata-kata Imam Ghazali… ini lah yang tak akan kita capai… yang tak termampu kita kejar… kerana ia paling jauh…. Hari-hari semalam kita….
Kalau aku nak coretkan memoir indah bersama kau, terlalu banyak Ngah. Susah senang, sedih gembira, gaduh… semuanya…. Terbanyak dalam hidupku keriangan berkawan hadir dari kau Ngah… dan semestinya Along, Uda walaupun jarang bersua… dan Jojo pengisi ruang setelah kamu bertiga jauh dari dunia aku. Mujur yang amat mengharukan aku.
Adik beradik engkaulah yang mengisi dunia remaja aku. Yang bersama-sama mencorak, apa yang akan aku tempuhi dan jalani kemudian. Kau bayangkanlah Ngah… aku langsung keseorangan ketika kau pergi masa tingkatan lima. Aku betul-betul sendirian. Along dah ke ITM Segamat. Tiada kawan langsung…. Hanya buku peneman aku. Sekali-sekala aku bersama Darwis. Kadang-kadang aku cuba hilangkan kekosongan bersama Farhan. Namun aku sering hampa untuk mencari keriangan seperti bersama kau atau Along.
Aku melepak di Death Line kita sorang-sorang. Hanya kamus tebal itu jer jadi teman. Sekali sekala kalau Along balik, hanya Allah tahu kegembiraan. Apalagi bila kau balik! Insan paling pemurah yang aku pernah jumpa! Insan yang langsung tidak menghiraukan poket sendiri semata-mata untuk teman… apatah lagi untuk keluarganya.
Terbayang aku ketika hari-hari akhir kita di tingkatan empat. Ketika kita diCromok oleh seteru ideologi dan fahaman di depan kelas aku. Ya Ngah. Aku takkan lupa sampai bila2. Sampai hujung nyawa ku… Engkaulah yang menjadi benteng dan perisai dihadapan aku supaya tiada siapa yang dapat mencederakan aku… Ya Allah… itulah perkara yang aku tidak mungkin lupakan…. Kau cedera ditangan… aku dikaki. Kita sama-sama hanya berdua…. Termengkelan melihat begitu ramai yang berhasrat memusnahkan ideologi kita… hanyalah kerana kita kutuk Awie Wings? Tapi aku tak sangka… kau ketika itu menunjukkan keberanian yang langsung tidak putus asa. Kerana kau berani la aku berani. Bersama-sama kita tanggung…. Aku akan ingat orang yang cederakan ko Ngah.. aku ingat… namun kau la insan paling pemaaf dalam hidup aku. Beberapa tahun kemudian, kau sudi bersama-sama ‘dia’ dan melupakan kisah silam….
Rasa terbela juga kita Ngah bila Along, Adi, Arwah Azan, Yus, Majid dan Thar keesokkan harinya menggempur tingkatan empat mencari dalangnya… Namun aku sedih… natijahnya, ko tinggalkan aku sendirian kemudian di tingkatan lima….. dah la Shawal masuk Vokasional….
…………………………………….
Semakin aku coretkan, semakin banyak memori-memori bersama kau Ngah…. Tak tahu yang mana satu aku nak coretkan disini…. Dan aku rasa tak perlu diberitahu, bahawa mak dan arwah abah aku amat senang bila aku berkawan dengan kau dan adik beradik kau. Malah mak dan arwah abah sendiri kata, korang dah macam anak-anak mereka….. mereka tak bising pun kalau aku keluar dengan kau atau adik beradik kau… atau Thar… atau Zaki… sebab mereka tahu peribadi kawan-kawan pilihan aku. Tidak menimbulkan masalah.
Kali terakhir aku berjumpa kau tahun lepas. Memang rezeki kau Ngah aku salam cium tangan kau. Ada jugak hikmah aku tersalah cam kau… mati-mati aku ingat pakcik yang aku salam! Dan kau bukan main riang lagi berjaya mengenakan aku… rupanya Along dan Uda pun terkena! Tak patut kalau aku pun tak kena.
Itulah kali terakhir pertemuan kita Ngah…. Dan aku akan simpan kisah yang ko ceritakan pada aku tu… kisah betapa ko terkilan dan bersyukur… aku tak akan nyatakan disini. Aku hormati keputusan kau… itu namanya bukan rezeki kau Ngah. Itu ketentuan Illahi.
Oh Angah….
Memoir perjalanan ziarah ku….
Selasa 22 Jamadilawal…. Malam. Aku bersama guruku. Sepatutnya malam itu aku belajar zikir lagi. Biasanya sampai tengah malam. Namun hatiku tak sedap. Mungkin memikirkan nak pergi Kuala Lumpur pukul 5 pagi esoknya. Urusan pejabat. Kemudian guruku membuat satu keputusan yang aneh.
“dah la Jang, jom pergi ngeteh.” Aku akur dan keluar bersama rakan ku sekali Mohiyar di gerai di satu tempat di Sri Gading. Selepas bertanya khabar pada kawanku Azrul berkenaan program 5 pagi esok ditelefon, baru aku masuk ke warung. Tak sampai 10 minit satu pesanan di henpon ku… “Angah adik Kerol meninggal petang tadi kat HKL… Al-Fatihah” itu la ayatnya. Ku lihat dari Tharmizi. Ketika itu pukul 10.03 minit.
Masa umpama terhenti. Dada ku kuat berdebar… fikiran ku kosong… apa ini? Aku langsung tidak tahu sebarang berita… dan kenapa tiba-tiba? Spontan jari-jariku mencari dan mendail nombor henpon Along…. Tak sempat aku beri salam… nada sayu memohon maaf dari Along kerana tidak memaklumkan pada ku…. Aku sedar dan pernah merasa situasi yang dia rasa. Setelah memastikan perkara yang berlaku, aku tak sambung perbualan lama-lama kerana dia sedang memandu.
Orang kedua aku telefon, mak. Terkelu mak mendengar berita ini…. Selang 20 minit mak telefon lagi… dan jelas dia sedang kembali mengingati memori rakan baikku… sedikit esakan aku dapat aku dengar…. Dia cuba menenangkan aku… tapi aku rasa mak yang lebih perlu bertenang.
Sudah menjadi kebiasaan, bila aku belajar zikir, atau ke kelas agama, kadangkala isteri dan 2 orang buah hatiku tinggal di kampung isteri…. Aku pulang awal, namun aku tidak menjemput isteriku. Niat hatiku untuk membuat sedikit amal malam… namun aku hanya duduk di sofa sampai pukul 3.30 pagi. Setelah aku memberi mesej pada rakan yang akan ke Kuala Lumpur pagi itu bahawa aku tidak dapat mengiringi mereka, aku cuba lagi melelapkan mata. Masih gagal…..
Hampir pukul 4 pagi baru aku tertidur. Subuh ku lewat. Hujan mencurah-curah dengan lebatnya. Aku perlu segera ke kampung isteri untuk menghantar dia ke pejabatnya kerana kalau hujan memang aku akan hantar.
Selesai menghantar isteri aku kembali ke rumah mertuaku. Aku tepaksa guna motorsikal memandangkan kereta cukai jalannya tamat pulak…. Aku redah hujan lebat dari Batu Puteh ke Parit Sulong ke Yong Peng dan akhirnya Paloh…. Hatiku tergerak untuk ke rumah kau Ngah… tapi memandang lebih 50% pakaian ku lencun, aku ke rumah pusaka dulu…. Salin pakaian… sambil menelefon Along.
Kebetulan Along dan Jojo keluar ke pekan. Mereka singgah di rumahku… sungguh lama aku tak menatap wajah Along dan Jojo. Masing-masing tersenyum namun riak sayu tetap tidak dapat disembunyikan… Along pembuka bicara riwayat perjalanan Arwah…. Dia memberitahu, seminggu sebelum itu, Angah bercuti di rumahnya di Ladang Subur, Taiping. 4 hari disana, tiada yang pelik berlaku. Angah hanya minta ubat gatal kulit kat Nazlin. Along menawarkan supaya Angah terus tinggal bersamanya. Memandangkan dia pernah dimasukkan ke hospital dahulu. Supaya berehat sehingga betul2 sembuh.
Seperti biasa, Angah tersenyum sahaja kata Along… aku bertanyakan punca kematian kepada Along. Dia menjelaskan, salah satu urat dikaki Angah tersumbat. Lalu membengkak. Lama-kelamaan urat tersebut dijangkiti kuman… kuman tersebut mula menyerang saraf di otaknya…. Angah pengsan ditempat kerja hari Jumaat. Dimasukkan ke ICU. Setelah sedar pada hari itu, dia diserang sawan. Setelah menerima ubat penenang, Jantungnya berhenti berdenyut…. Doktor cuba menyelamatkannya… akhirnya jantung Angah kembali berdenyut, tetapi setelah 10 minit terhenti. Angah koma sehinggalah hari terakhirnya…
Doktor menyatakan secara saintifik, otak manusia hampir mustahil untuk berfungsi bila ketiadaan oksigen dalam tempoh yang melebihi beberapa minit.
Jojo dan Uda yang bergilir-gilir menemani Angah dihospital. Jauh tu dalam hati ku terdetik… Uda di Kelantan, Jojo …. Kluang kot?
Along memberitahu, sepanjang di hospital, rakan-rakan lain juga ada yang menziarah…. Zali… dan yang lain-lain aku tak tahu. Dia menyatakan notis dan pemberitahuan ada di Facebook. Aku mohon maaf pada Along… sudah hampir seminggu aku tak melayari laman sosial tu… Aku sedikit sibuk dengan urusan pejabat dan aku juga sedang membuat persiapan untuk perniagaan kecil-kecilan mencetak baju dirumah. Patutlah aku tak tahu….
Ada sesuatu yang amat menyentuh perasaan… Along menceritakan dia membaca diari Arwah Angah… di halaman terakhir yang bertulis, ada nota untuk Along… bermula dengan Salam, ia ditujukan kepada Along…. Mana mungkin ia catatan harian diari jika begitu… Along sambil menceritakan aku lihat tidak dapat menahan sebak dan sayu…. Meletus juga akhirnya… aku sedaya upaya menahan diri sekuat mungkin. Ketika ini aku rasa aku perlu tabah supaya 2 insan di hadapan aku ini lebih tabah.
Along menceritakan beberapa hasrat Angah didalam diari itu… memang sebak.. bertungkus lumus aku cuba melarikan sedikit demi sedikit topik perbualan agar Along kurang sedihnya. Jojo hanya terdiam dari tadi….
Paling aku tidak tahan bila mendengar cerita setiap kali Angah pengsan, henpon dan beg duitnya pasti hilang… Angah tahu siapa yang ambil. Dah banyak kali. Namun tiada keluhan malah kemaafan yang sering diberikan…. Pemurah dan pemaaf betul Arwah Angah ini…
Hujan dah renyai-renyai… hampir pukul 11.00 pagi. Aku mengajak mereka ber’sarapan’ kerana perut aku dah pedih… belum diisi apa-apa lagi dari tadi…
Dah lama tak ke pekan. Tak tahu kedai mana nak makan. Rupanya Jojo guide kami ke kedai keluarga Razak. Disana kami bertemu Razak. Bersambung lagi kisah2 sedih… aku tarik lagi ke topik lain… bukan kurang ajar. Bukan biadap… aku cuma tak mahu ia meletus disitu….
Kemudian aku usulkan untuk menziarah pakcik dan makcik… dalam perjalanan kami terserempak pakcik. Sampai dirumah Along, sanak asudara mereka dah ramai… aku amik masa nak masuk. Akhirnya aku dapat bersalam dengan makcik setelah aku lihat keadaan dia tenang dan tersenyum berbual dengan saudara mara. Kemudian aku keluar duduk berbual dengan adik kepada makcik. Lama kami berbual, pakcik balik… kemudian beransur-ansur penziarah pulang…. Hanya tinggal keluarga sahaja…
Waktu dah hampir zuhur… aku nak ziarah kubur arwah Abah dan Angah. Masuk dan bersalam lagi dengan makcik… aku tau ia akan terjadi… kuat sungguh dia menggenggam lengan ku sambil berjuraian air mata… mencebis sedikit memori aku bersama Angah… menjadikan aku sukar untuk menahan… aku tak kata apa-apa.. Termengkelan. Pakcik duduk dipenjuru. Aku perlahan-perlahan mencium tangannya… akhirnya disitu aku pasti ada lelehan pada mata ku… kerana pakcik amat mirip dengan arwah Angah. Aku hilangkan segala kesan dan pulang ke rumah.
Azan dah lama berlalu… aku masih termenung memandang dua keping gambar simpanan. Terasa aku seperti ingin kembali di waktu dulu memenuhi hari-hari bersama Angah dan menghargai sepenuhnya nilai persahabatan aku dan dia. Aku ambil keputusan ke surau setelah gagal menahan ledakan. Perkara yang amat jarang aku lakukan kerana aku lebih suka ke masjid. Arwah Abah pula suka ke surau… dalam surau aku masih banyak mengelamun…..
Isteri ku dah beberapa kali menelefon bertanya keadaan… setelah aku menziarah kubur dan membeli sedikit barang di pekan untuk percetakan baju, aku mulakan kembali perjalanan. Kali ini dalam renyai hujan….
Disepanjang jalan inilah aku mengimbau segala kisah yang aku coretkan ini….
Maafkan aku Kerol kerana seperti tidak bersedih… Maafkan aku juga Uda… maafkan abang kerana banyak membisu Jojo.
Kerana aku nak simpan kesedihan ini didalam hati. Sambil kita bersama-sama berdoa agar Angah mendapat husnul ghatimahnya…. Semoga Allah menempatkan dia sebaris dengan para Solehin. InsyaAllah.
Sehingga terbitnya artikel ini, aku masih tidak sanggup membuka Facebook… aku tidak sanggup membaca ucapan takziah dan imbauan memori-memori dari rakan-rakan lain terhadap Angah…. Aku dah menerima banyak pengalaman kehilangan orang yang tersayang…
Disini aku memohon kemaafan terhadap setiap rakan, teman dan kawan ku… mana-mana yang aku terhutang / berhutang… datang tuntutlah… jika mampu aku langsaikan.. jika tidak dengan izin Allah jua aku usahakan… kerana aku takut jika ada yang aku terlupa… kerana kematian itulah rakan dan teman sepanjang waktu kita yang paling hampir dan sangat-sangat dekat dengan diri kita.
Andai panggilan seterusnya milik aku, sesiapa yang berhutang dengan ku, aku halalkan segala pemberian. Aku maafkan segala perlakuan yang dilakukan ke atas ku…
Selain keluarga… kita masih ada rakan…. Ya… rakan…. Yang kadangkala kita tak perasan kepentingannya…
Sampai jumpa lagi dengan izin Allah.
Subscribe to:
Posts (Atom)