Wednesday, March 16, 2011

Muslim yang "Islamophobia"




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


- Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia dalam kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan umat Islam sendiri -



"Kenapa orang bukan Islam sangat sukar untuk memahami Islam?" tanya seorang pemuda dengan nada kesal.

"Sebab orang Islam sendiri gagal memahamkan mereka," jawab saya perlahan.

"Kenapa orang Islam gagal memahamkan bukan Islam tentang Islam?"

"Sebab orang Islam sendiri tidak faham Islam!"

"Apa bukti kata-kata awak itu?"

"Buktinya jelas. Lihat sahaja dalam realitinya, apakah masyarakat Islam pada hari ini selamat dan menyelamatkan?"

"Kenapa ke situ pula arah percakapan awak?"

"Sebab Islam itu bererti selamat. Bukan sahaja selamat malah mampu menyelamatkan. Maka sudah tentulah secara logiknya umat Islam adalah umat yang paling selamat dan dapat menyelamatkan orang lain."

"Tetapi realitinya tidak begitu kan?"

"Awak boleh lihat dengan mata kepala sendiri. Kita mundur dari semua sudut, sama ada rohani mahupun jasmani."

"Maksud awak di dunia antarabangsa?"

"Tak payah pergi jauh, lihat sahaja di negara kita. Siapa yang terlibat dalam gejala sosial? Siapa yang ketinggalan dalam bidang ekonomi?"

saya sambung...

"Ya, bangsa Melayu Islam." kata saya.

"Awak jangan silap, kelemahan umat Islam bukan bererti kelamahan Islam." katanya.

"Benar. tapi umat Islamlah yang menyebabkan berlakunya Islamophobia. Umat Islam yang tidak amalkan Islam secara penuh dan menyeluruh," balas saya.

"Musuh ambil kesempatan memburuk-burukkan Islam atas kelemahan umat Islam. Mereka yang salah."

"Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri membuka peluang untuk diperlakukan demikian."

"Jadi bagaimana nak atasi Islamophobia?"

"Dalam kalangan siapa, umat Islam atau bukan Islam?" bidas saya.

"Tentulah dalam kalangan bukan Islam. Contohnya Barat. Merekalah yang menuduh kita mundur, ganas, berpecah belah dan militan."

"Bagi saya, kita perlu laksanakan strategi serampang dua mata."

"Macamana pula tu?"

"Kita perlu perjelaskan dan amalkan Islam yang sebenar dalam kalangan umat Islam. Itu yang penting."

"Bagaimana dengan yang bukan Islam?"

"Insya-Allah umat Islam yang faham Islam dan mengamalkannya merupakan hujah yang kuat untuk menolak Islamophobia."

"Kenapa?"

"Selamanya manusia mempercayai matanya daripada telinga. Action speaks louder than words."

"Eh, tak faham pula saya."

"Kita mesti amalkan Islam yang boleh dilihat. Bukan sahaja cakap-cakap tentang Islam yang hanya enak didengar."

"Apakah amalan Islam kita sekarang belum cukup?"

"Belum cukup dan belum sempurna." kata saya lagi.

"Jangan ekstrem. Berpada-padalah. Berserderhana."

"Kita belum amalkan Islam yang sederhana. Kita masih dibawah paras sederhana."

"Awak ni.... Biar betul. Ukuran mana yang awak pakai?"

"Siapakah yang paling sederhana mengamalkan Islam?"

Pemuda itu terdiam.

"Role model individu yang paling sederhana mengamalkan Islam ialah Rasulullah s.a.w. Bagindalah yang pernah bersabda, sebaik-baik urusan adalah yang pertengahan. Justeru, Bagindalah orang yang pertama mengamalkan apa yang diperkatakannya."

"Ikut Nabi... susahlah."

"Bagindalah ikutan bagi kita mengamalkan kesederhanaan Islam. Bagindalah Al-Quran hidup yang mengamalkan prinsip-prinsip kesederhanaan dalam Al-Quran."

"Maksud awak konsep wasatiyah?"

"Wasatiyah dalam seluruh sistem hidup. daripada persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Yang merangkumi soal aqidah, syariah dan akhlak."

"Siapa yang mampu buat begitu?"

"Para sahabat, salafussoleh dan orang Mukmin dari dahulu hingga sekarang. Mereka ialah golongan sederhana yang mengikuti Rasulullah s.a.w, insan yang paling sederhana."

Melihat dia diam saya menambah.

"Lihat bagaimana iman, solat, ekonomi, ketenteraan dan seluruh cara hidup mereka. Itulah model kesederhanaan yang diredhai Allah. Selain itu masih dikira ekstrem, samada ekstrem yang liberal atau ekstrem yang fanatik."

"Bagi saya sederhana itu adalah dengan mengamalkan Islam yang tidak menimbulkan ketakutan dan keresahan. Kita dilihat mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang majmuk dan pelbagai."

"Saya setuju dengan pandangan awak. Lihat apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Baginda mempu menghadapi dan menangani cabaran masyarakat majmuk di Madinah."

"Kita perlu diplomasi."

"Diplomasi yang tidak menggadaikan hukum dan peraturan Allah."

"Contohnya?"

Islam itu Sederhana

"Apabila kita makan, kita memilih yang halal, menolak yag haram dan syubhah. Itu sederhana. Apabila berekonomi, kita menolak riba dan penzaliman. Itu sederhana. Apabila...."

"Cukup-cukup. Itu semua berlaku dalam kalangan umat Islam, bukan? Bukan itu sasaran saya. Sasaran saya ialah Islamophobia dalam kalangan bukan Islam."

Saya hampir menggeleng-gelengkan kepala. Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia dalam kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan umat Islam sendiri.

"Cuba awak fokus sedikit kepada bukan Islam."

"Ya. Saya teringat apa yang dinukilkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengenai ucapan seorang intelektual yang baru memeluk Islam..."

"Ya, itulah yang saya nak dengar!"

"Kata intelektual itu, subhanallah yang mengenalkan aku kepada Islam terlebih dahulu sebelum aku mengenal orang Islam."

"Pelik bunyinya?"

"Tak pelik sebenarnya. Maksudnya, mujur dia memahami ajaran Islam yang begitu indah, sempurna dan praktikal secara ilmiah dahulu. Hingga dengan itu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Sekiranya dia terlebih dahulu mengenal perangai dan sikap orang Islam yang buruk, maka dia tidak akan tergerak untuk memeluk Islam. Maka dia memuji Allah atas rahmat itu!"

"Tetapi ramai juga orang tertarik kepada Islam kerana umat Islam, betul tak?"

"Betul. Tetapi umat Islam yang bagaimana? Tentulah umat Islam yang mengamalkan Islam."

"Ish, fokus awak masih kepada orang Islam. Itu bukan sasaran saya."

"Saudara, memang benar kita akan ditanya oleh Allah mengapa tidak berdakwah yakni memberi penjelasan tentang Islam yang sebenar kepada bukan Islam tetapi Allah tentunya akan lebih bertanya kepada kita apakah kita telah amalkan Islam yang telah kita akui kebenaran dan kesempurnaannya. Bukankah kita bertanggungjawab menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka terlebih dahulu? Bukankah moto dakwah kita adalah perbaiki diri dan serulah orang lain?"

"jadi awak enggan berusaha mengatasi Islamophobia dalam kalangan bukan Islam?"

"Saya menyokong. Fitnah yang melanda Islam dan umat ini perlu ditangani dengan serius. Ia satu dakwah dan jihad yang utama."

"Tetapi awak macam skeptis sahaja......."

Sempurnakan Kefahaman Umat Islam

"Bukan begitu. Saya berasa kita perlu juga baiki dan sempurnakan kefahaman dan amalan Islam dalam umat Islam, sekaligus kita perjelaskan Islam yang kita fahami dan amalkan itu kepada bukan Islam. Mari kita amalkan cara hidup Islam yang syumul tanpa memilih-milih mengikut hawa nafsu kita?"

"Mengikut nafsu?"

"Ya, kekadang apa yang sesuai, kita ikut. Tetapi ada yang kita rasa tidak sesuai lalu kita pinggirkan. Saya teringat ancaman Allah dalam Al-Quran tentang golongan yang beriman dengan sebahagian isi Al-Quran dan kufur dengan sebahagian isi yang lain. Mereka itu dijanjikan dengan kehinaan ketika hidup di dunia dan akan dilemparkan ke neraka."

"Awak mengancam."

"Tidak. Ini mengingatkan kerana kasih sayang. Saya pun lemah. Tetapi jika kita sama-sama berusaha, kita akan saling kuat-menguatkan."

"Kalau begitu, boleh tak kita jangan cakap tentang neraka?"

"Mengapa?"

"Itu menakutkan. Kita bincang soal yang harmoni."

"Saya tidak faham apa yang awak maksudkan dengan ajaran Islam yang harmoni. Tetapi soal neraka dan syurga ini adalah soal iman. Ia adalah perkara pertama dan utama yang ditekankan oleh Nabi s.a.w diperingkat awal perjuangannya."

"Awak menakutkan orang bukan Islam."

"Maaf saudara, saya sedang berhadapan dengan saudara.... orang Islam. Kita perlu bercakap soal iman kerana tanpa iman, Islam akan hanya ada difikiran dan lisan, bukan dihati dan amalan."

"Bukan begitu, tapi soal ini perlu dikemudiankan...."

Saya terdiam. Oh, betapa ramainya orang Islam yang mengukur kesederhanaan Islam mengikut "kesederhanaan" nafsu, bukan lagi merujuk kepada sejarah pengalaman Islam oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang merujuk kepada kesederhanaan wahyu!

- petikan artikel itu saya ambil dari naskah/majalah SOLUSI no.25 (maaf saya tidak minta izin dari penerbit... nak saman.. janganlah.. saya bukan orang mewah dan berduit banyak. namun saya amalakkan tiada hakcipta dalam Islam selain ia milik Allah s.w.t)

artikel ini hasil nukilan pena Imam Global.

No comments: